"Akan kuatkah kaki yang melangkah, bila disapa duri yang menanti. Akan kaburkah mata yang menatap, pada debu yang pasti kan hinggap. Mengharap senang dalam berjuang bagai merindu rembulan di tengah siang, jalannya tak seindah sentuhan mata, pangkalnya jauh hujungnya belum tiba" - Sesuci Sekeping Hati

Sabtu, 8 Mei 2010

Istimewanya Cikgu......

Nabi Khdir berpesan kepada Nabi Musa a.s., "Jadilah kamu seorang yang tersenyum dan bukannya orang yang tertawa. Teruskanlah berdakwah dan janganlah berjalan tanpa tujuan. Janganlah pula apabila kamu melakukan kesilapan, berputus asa dengan kesilapan yang dilakukan itu. Menangislah disebabkan kesilapan yang kamu lakukan, wahai Ibn `Imran."

Meneliti kisah ini kita dapat membuat satu kesimpulan iaitu Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s. secara tidak langsung menggariskan beberapa adab penting dalam mencari ilmu, khususnya dalam berguru. Pertama, ilmu merupakan kurniaan Allah s.w.t. Tidak ada seorang manusia pun yang boleh mendakwa bahawa ia lebih berilmu berbanding orang lain. Ini kerana, ada juga ilmu yang merupakan anugerah daripada Allah tanpa mempelajarinya (ilmu ladunni ilmu yang dikhususkan untuk hamba-hamba Allah yang salih dan terpilih sahaja).

Kedua, perlu bersabar dan tidak terburu-buru serta mengutamakan kebijaksanaan pada setiap ketika. Ketiga, seseorang pelajar perlu memelihara adab dengan gurunya. Antara adabnya ialah seseorang pelajar mestilah bersedia untuk mendengar penjelasan daripada guru dari awal sehingga akhir sebelum bertindak dengan mengabaikan perintah guru.

Selain memuliakan guru, kita juga bertanggungjawab untuk menunaikan hak mereka. Ini menunjukkan bahawa Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa kepada guru. Antara hak guru yang perlu ditunaikan ialah :

1. Merendahkan diri terhadap guru.

Sebagai murid, kita haruslah merendahkan diri sebagai tanda mengiktiraf kewibawaan dan keilmuan yang ada pada guru. Segala nasihat dan bimbingan mereka hendaklah dituruti. Dalam hubungan ini, Imam Ahmad ibn Hanbal r.h. pernah berkata kepada Khalaf al-Ahmar, "Aku tidak akan duduk kecuali di sampingmu. Beginilah kita disuruh supaya merendahkan diri kepada guru kita."

Selain itu, al-Tabarani meriwayatkan dalam kitabnya, al-Ausat daripada Abu Hurairah r.a., katanya, "Rasulullah s.a.w. bersabda :

Terjemahan :

"Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu."

Manakala Ahmad, al-Tabarani dan al-Hakim pula telah meriwayatkan daripada `Ubadah ibn Samit bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bukanlah daripada umatku sesiapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua dan mengasihi kanak-kanak serta mengakui hak orang yang berilmu di kalangan kita."

2. Memandang guru dengan penuh hormat dan meyakini bahawa keperibadian mereka adalah lebih sempurna. Ini membolehkan kita mencontohi tingkah laku dan akhlak mereka dengan lebih berkesan. Imam Syafi`e rahimahullah berkata, "Aku membuka halaman kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana bimbang beliau mendengar bunyi kertas tersebut." Manakala al-Rabi` pula menceritakan, "Aku tidak berani meneguk air apabila Imam Syafi`e berada di hadapanku kerana menghormatinya."

3. Memanggil guru dengan gelaran yang mulia sebagai tanda menghormati mereka. Contohnya ialah 'al-Fadil Ustaz', 'tuan guru', 'mu`allim' dan sebagainya. Kita sebaliknya pula dilarang daripada memanggil atau menyebut nama guru itu sahaja tanpa gelaran penghormatan terhadap mereka.

4. Mengiktiraf hak guru terhadap diri kita. Syu`bah pernah berkata, "Apabila aku mempelajari sesuatu (ilmu) daripada seseorang maka aku akan menjadi hamba kepadanya selagi ia hidup."

5. Mendoakan untuk guru sepanjang hayat mereka. Selain itu, kita juga hendaklah mengambil berat tentang keluarga dan sahabat handai selepas kematian mereka. Keraplah menziarahi kubur dan memohon keampunan serta menghadiahkan pahala ke atas roh mereka, setiap kali berpeluang untuk berbuat demikian.

Doa sememangnya merupakan cara terbaik untuk menyatakan penghargaan atas usaha guru kita menyampaikan ilmu yang sangat bermanfaat untuk kita, bukan sahaja di dunia yang fana ini tetapi juga di akhirat kelak. Justeru itu, doakanlah kesejahteraan dan keberkatan hidup mereka. Sesungguhnya jasa mereka mengajar kita tidak mungkin terdaya kita balas biar sekeras mana sekali pun kita berusaha. Selain menghormati dan menunaikan hak mereka, doa sahajalah yang dapat kita panjatkan ke hadrat Allah sebagai tanda kita mengasihi mereka dan mengharapkan keredaan Allah ke atas diri mereka. Dengan berdoa juga, kita akan dapat menunaikan tanggungjawab kita sebagai murid iaitu memastikan kehidupan guru kita penuh dengan keberkatan dan keselamatan. Bahkan dengan doa inilah kita akan dapat mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dengan guru kita itu, khususnya sebagai sesama Mukmin. Sebaliknya, jika guru kita itu telah meninggal dunia, doa daripada kita sudah pasti sangat diharapkannya. Mudah-mudahan dengan doa tersebut, roh guru kita itu akan dicucuri rahmat yang melimpah ruah oleh Allah s.w.t.

6. Bersabar dengan kerenah dan sikap guru. Dalam proses pembelajaran iaitu pada waktu-waktu yang tertentu, guru akan memarahi kita. Kadangkala bersebab dan kadangkala mungkin tidak. Sebagai manusia, guru juga mempunyai emosi yang adakalanya tidak dapat dikawal. Sebagai murid pula, kita hendaklah bersabar dan jangan sesekali membalas perbuatan guru kita itu. Mohonlah keampunan kepada Allah untuk guru kita itu. Sebab atau alasan kemarahan guru itu hendaklah dianggap berpunca daripada kita. Pendirian sebegini akan mengekalkan kasih sayang guru dan dapat menjaga hati mereka.

Sebahagian ahli salaf berkata, "Sesiapa yang tidak sanggup bersabar atas pelajaran, ia akan kekal sepanjang usianya jahil dan bodoh. Dan sesiapa yang bersabar pula, urusannya akan berakhir dengan kemuliaan di dunia dan akhirat."

7. Berkelakuan penuh sopan semasa mengikuti pembelajaran. Hayatilah ilmu yang disampaikan dengan tenang dan penuh konsentrasi. Tunjukkanlah minat yang mendalam terhadap topik yang sedang dibincangkan oleh guru. Janganlah sesekali kita mengganggu ketenangan guru dan melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu pembelajaran. Umpamanya, mengganggu rakan-rakan yang lain, ketawa tanpa sebab, ataupun bersebab tetapi dengan suara yang tinggi, bercakap-cakap dengan rakan dan sebagainya.

8. Meminta izin guru sebelum memasuki kelas, rumah atau tempat yang khusus untuk guru seperti bilik guru. Ketuklah pintu perlahan-lahan iaitu dengan menggunakan kuku supaya tidak mengganggu guru. Sekiranya guru tidak dapat mendengar ketukan tersebut, barulah mengulangi ketukan tersebut dengan agak kuat lalu seterusnya menggunakan loceng dan sebagainya.

Semasa menemui guru, kita juga diingatkan supaya berpakaian bersih dan kemas terutama jika kita menghadiri majlis pembelajarannya kerana ia merupakan majlis zikir. Fikiran hendaklah dikosongkan daripada segala perkara supaya kita bersedia untuk mendengar dan memahami apa yang dikatakan oleh guru. Sekiranya guru masih belum sampai di tempatnya, kita hendaklah menunggu dengan sabar. Jika guru sedang tidur, kita hendaklah menanti kedatangannya, bukan dengan mengejutkannya.

Diriwayatkan bahawa Ibn `Abbas r.a. yang berguru dengan Zaid bin Thabit menunggu di pintu rumah Zaid sehingga beliau bangun dari tidur. Ibn `Abbas pun ditanya, "Adakah kamu mahu aku kejutkan Zaid?" Jawabnya, "Jangan."

9. Mendengar isi pengajaran dengan tekun walaupun topik perbincangan telah pun diketahui. Sekiranya guru menyebut atau membincangkan sesuatu topik yang telah pun dinyatakan sebelumnya atau telah pun kita ketahui, kita hendaklah berusaha mendengarnya dengan penuh perhatian, seolah-olah kita belum pernah mendengarnya lagi. `Ata' berkata, "Aku pernah mendengar seseorang menceritakan sesuatu sedangkan aku lebih mengetahui tentang perkara itu. Namun, aku tetap mendengarnya dan berpura-pura tidak tahu langsung tentang perkara tersebut."

10. Tidak mengulangi pertanyaan bagi sesuatu masalah yang telah pun diketahui jawapannya. Perbuatan ini dilarang kerana ia akan menimbulkan rasa tidak senang di hati guru selain menyebabkan masa guru terbuang begitu sahaja. Al-Zuhri pernah berkata, "Mengulangi perbincangan sesuatu masalah adalah lebih berat daripada memindahkan sebuah tunggul."

Kesimpulan

Muliakanlah guru-guru kita kerana sesungguhnya Allah s.w.t. menegaskan, "Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah 58:11)

Dalam kesempatan ini, rasanya masih belum terlewat untuk diucapkan 'Selamat Hari Guru' kepada semua guru dan pendidik walau di mana jua mereka berada. Sesungguhnya jasa kalian tak terungkap oleh perkataan, tak terjumlah oleh perkiraan. Mudah-mudahan jasa kalian mendidik ummah diberkati dan dikurniakan setinggi-tinggi ganjaran oleh Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan